expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

21 June, 2014

TRAGEDI BOT KARAM; SIAPA YANG HARUS DIPERSALAHKAN?



Baru-baru ini negara dikejutkan dengan tragedi bot karam yang mengorbankan nyawa beberapa warga Indonesia. Dalam kejadian pada 18 Jun itu, sebuah bot yang membawa 97 warga Indonesia karam di sekitar kawasan Sungai Air Hitam, Kuala Langat pada kira-kira pukul 12.30 malam.

Usaha mencari dan menyelamat yang dilakukan oleh pasukan penyelamat dan nelayan tempatan berjaya menemui mangsa-mangsa tragedi itu. Namun, ada mangsa yang ditemui telah meninggal dunia.

Tidak sampai 24 jam selepas kejadian di Kuala Langat itu, sebuah lagi bot pancung yang membawa 27 warga Indonesia pula karam di perairan Sepang. Dalam kejadian tersebut, bot pancung itu cuba keluar melalui Pantai Morib ke Tanjung Balai kira-kira pukul 3 pagi pada 19 Jun. 

Pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berjaya menemui 18 mangsa termasuk seorang yang parah di bahagian perut manakala sembilan lagi masih hilang. Bot pancung ini dikatakan terbalik di kawasan Api Gila Perairan Sepang. 

Mungkin kedua-dua tragedi ini adalah kemalangan yang memang tidak pernah diduga akan terjadi dan kejadian yang berlaku secara berturutan ini juga mungkin kebetulan. Namun, apabila dikaji segala kejadian yang berlaku pasti ada sebabnya. 

Kadangkala apa yang dijanjikan Allah pasti ada hikmah di sebaliknya. 2 tragedi yang berlaku secara berturutan ini pasti terjadi untuk membuka mata dan memberi kesedaran pada semua pihak. 

Memang kita tidak harus menunding jari pada sesiapa apabila berlakunya tragedi seperti ini, namun kita juga tidak harus alpa tentang soal-soal yang kadangkala dipandang remeh oleh kita.

Di kala kita begitu gagah menjadi wira, menghantar bantuan ke sana sini, mengapa hal sebegini gagal kita tangani? Walaupun yang pasti tiada rakyat negara kita yang terlibat, namun kejadian ini jelas terjadi di kawasan perairan negara. Jadi, kesannya tetap terpalit pada diri kita.

Pasti ramai yang bersuara dan bertanya sejauh mana keselamatan perairan negara. Dahulu keselamatan di perairan turut dipersoalkan ketika berlakunya kes pengganas Lahad Datu. Ramai mempertikaikan bagaimana semua pengganas Sulu boleh sewenang-wenangnya melepasi perairan negara dengan membawa senjata?

Kini, tragedi bot karam pula diberi perhatian kerana mudahnya pati keluar masuk ke negara ini menggunakan laluan 'tikus'. Realitinya kegiatan haram ini didakwa didalangi sindiket yang menjalankan operasi membawa pati ke negara dengan bayaran yang jauh lebih rendah. 

Ada juga yang didakwa melakukannya dengan berselindung di sebalik kegiatan membawa masuk kayu paya bakau, namun mereka sebenarnya membawa pendatang asing ini menggunakan laluan tikus. 

Apabila terdapat begitu banyak dakwaan dan desas desus sebegini, mengapa tiada siasatan awal yang dijalankan? Mengapa tiada tindakan membanteras kegiatan ini yang dijalankan sehingga ianya berlarutan dan berulang sampai ada korban nyawa?

Mengapa hanya bila berlaku tragedi yang meragut nyawa, barulah kita mula melakukan itu ini. Barulah kita mula menyiasat, barulah mula hendak membanteras. Mengapa sudah terhantuk baru terngadah?

Semoga tragedi bot karam ini akan memberi pengajaran pada kita untuk lebih prihatin dan menitik beratkan isu-isu sebegini. Biarlah kita mengambil iktibar daripada malang yang menimpa agar tidak berulang di masa hadapan kerana mencegah itu adalah lebih baik dari merawat.


By,
Farahhasina

No comments:

Post a Comment