expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

31 August, 2014

REMAJA DIDAKWA MEROGOL KEKASIH BAWAH UMUR


KOTA BHARU – Seorang remaja berusia 19 tahun dihukum penjara lima tahun selepas mengaku salah atas tuduhan merogol kekasihnya yang baru berusia 14 tahun, di mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Hukuman diputuskan terhadap tertuduh, Iza Shah Rahman Mat Aziz dari Kampung Muka Bukit, Machang.

Tertuduh mengaku salah didakwa merogol seorang remaja perempuan yang ketika itu berusia 14 tahun sebulan di sebuah rumah tanpa nombor di kampung berkenaan pada jam 12.30 tengah malam, 10 Oktober 2012.

Tertuduh ketika itu berusia 17 tahun dan kejadian rogol tersebut berlaku di rumahnya. Hukuman terhadapnya diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus.

Terdahulu, peguam Ahmad Fakhzan Mat Noor merayu mahkamah supaya memberi peluang kepada tertuduh untuk berubah dan memohon hukuman penjara yang akan diputuskan itu tidak melebihi tiga bulan.

“Tertuduh sudah insaf dengan kesalahannya. Kesalahan dilakukan ketika mereka sebagai pasangan kekasih dan mangsa juga tidak menolak ketika diajak oleh tertuduh.

“Selepas daripada kejadian itu, tertuduh sudah berubah dan menurut ibunya tertuduh juga sudah mendirikan solat lima waktu, kurang bergaul dan banyak menghabiskan masa di rumah. Dia juga mengakui serik melakukan kesalahan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari, bagaimanapun membantah rayuan itu dengan hujahan bahawa jenayah rogol adalah satu kesalahan yang amat serius, lebih-lebih lagi mangsanya masih di bawah umur.

“Saya memohon hukuman berat untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain supaya tidak mengambil kesempatan dan berselindung di sebalik status pasangan kekasih.

“Jika benar tertuduh menjaga kebajikannya, sewajarnya dia melindungi dan menghantar mangsa pulang dengan selamat. Sebaliknya yang berlaku pada hari kejadian, ketiadaan mangsa disedari ibunya yang kemudian mencari dan hanya berjumpa dengannya di rumah tertuduh pada jam 4 petang,” katanya.

Berdasarkan laporan akhlak yang dikemukakan, tertuduh dikenali sebagai pelajar bermasalah dan sering ponteng sekolah. Tertuduh mula bekerja sebagai buruh binaan sejak berhenti dari persekolahan pada usia 16 tahun.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh hukuman itu di putuskan, semalam.

No comments:

Post a Comment