expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

19 April, 2014

KDN, Jabatan Peguam Negara kerjasama usir Pati

18 April 2014

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) turun padang dalam Ops Bersepadu memburu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Fasa 3 di salah satu pusat hiburan sekitar Ipoh , malam tadi. - Foto Bernama

TELUK INTAN - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara berhubung aspek perundangan bagi mempermudah pendatang asing tanpa izin (Pati) dihantar pulang ke negara masing-masing tanpa perlu berada lama di depoh tahanan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penasihat perundangan daripada kementerian akan mengemukakan beberapa cadangan kepada jabatan itu agar Pati yang dilepaskan daripada tahanan atau penjara tidak perlu dibawa ke depoh tahanan sebelum dihantar pulang ke negara asal mereka.

"Ini memerlukan beberapa pindaan perundangan dan jika ia boleh dilakukan secara pentadbiran maka ini akan dilakukan secara pentadbiran.

"Begitu juga beberapa aspek dalam Akta Imigresen dan undang-undang yang berkaitan akan kami bincangkan dengan Jabatan Peguam Negara," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Depoh Tahanan Imigresen Langkap dekat sini hari ini.

Beliau berkata terdapat Pati yang sukar untuk dihantar pulang ke negara asal disebabkan identiti yang tidak dikenal pasti kerana mereka tidak membawa sebarang tanda pengenalan.

"Ini menyebabkan kesukaran untuk negara berkenaan (asal) menerima mereka bagi penghantaran pulang," katanya.

Ahmad Zahid berkata sebanyak 19,222 Pati diusir dari negara ini dalam 'Ops Bersepadu' yang bermula 21 Jan lepas hingga 16 April dan kira-kira 15,800 Pati yang masih ditahan di 16 depoh tahanan kini dalam proses untuk dihantar pulang.

"Proses penghantaran pulang ini memerlukan dokumentasi terutama kerjasama daripada kedutaan atau pejabat Pesuruhjaya Tinggi untuk menyelesaikan dokumen sekurang-kurangnya perjalanan satu hala ke negara masing-masing," katanya.

Beliau berkata kerajaan membelanjakan kira-kira RM24 juta setahun bagi penyelenggaraan makanan untuk Pati di depoh tahanan. - Bernama

No comments:

Post a Comment