Posted2014/04/20
Eksekutif Fox Cable Networks Group, Darlene Tipton cuba menyalurkan bantuan wang kepada keluarga penumpang MH370 sebelum dibuang kerja. – Gambar Reuters, 20 April, 2014.
Eksekutif syarikat penyiaran Amerika dibuang kerja kerana menggunakan akaun e-mel syarikat bagi menyalurkan bantuan kepada keluarga pesawat hilang MH370.
Associated Press melaporkan naib presiden amalan dan piawaian Fox Cable Networks Group, Darlene Tipton ingin mengaturkan bantuan kewangan kepada keluarga penumpang untuk proses mahkamah yang dijangka akan memakan masa yang lama.
Dia memulakan proses itu dengan mengirim e-mel kepada Sarah Bajc, teman wanita warga Amerika, Philip Wood yang merupakan salah seorang daripada 239 penumpang MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu.
Jurucakap Fox, Scott Grogin berkata tatacara dan komunikasi Tipton melanggar polisi syarikat.
Beliau enggan menerangkan lebih lanjut ekoran dasar kerahsiaan, namun mengesahkan Tipton yang bersama Fox sejak 25 tahun lalu meninggalkan syarikat itu pada 9 April lalu.
“Setelah kami sedari, kami mengambil langkah yang perlu,” katanya dilaporkan sebagai berkata.
Walaupun dengan perkembangan terbaru, Tipton berkata dia akan meneruskan perancangannya dan akan menggunakan laman sesawang pengumpulan dana, GoFundMe bagi meneruskan hasratnya menyumbang bagi pihak keluarganya.
“Kami mahu mengumpul dana kepada keluarga waris bagi memberi kelegaan kepada mereka kerana proses mahkamah mungkin memakan masa bertahun-tahun,” katanya kepada AP sewaktu berada di rumahnya di Los Angeles.
Hasratnya untuk membantu menghadapi rintangan apabila penerima terpaksa mendapat haknya melalui saluran guaman.
“Jika mereka boleh mendapatkan wang melalui sumbangan, tidak adil kepada mereka untuk menuntutnya melalui saluran perundangan,” katanya.
Suami Tipton yang merupakan penulis dan penerbit, Ken Tipton berkata isterinya merancang untuk menyaman Fox kerana menggunakan prosedur yang salah.
Katanya, isterinya tampil dengan inisiatif sedemikian setelah mengalami halusinasi bersama penumpang pesawat itu sewaktu berada di sebuah hospital di Los Angeles bulan lalu, tidak lama selepas MH370 dilaporkan hilang.
Walaupun usaha mencari pesawat tersebut membabitkan beberapa negara, namun ia masih tidak menampakkan sebarang hasil.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment