expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

24 April, 2014

Penculik, mangsa berkenalan di kafe siber

2014/04/23

Suspek berusia 49 tahun direman sehingga 28 April ini untuk siasatan lanjut.

MELAKA – Masalah kewangan dihadapi seorang penganggur mendorong dia merancang penculikan dan meminta wang tebusan RM20,000 daripada keluarga mangsa.
Lelaki berusia 49 tahun itu bagaimanapun bertindak membunuh remaja yang diculiknya itu, M Gunaseelan, 13, di sebuah kedai kosong di Jalan MJ 47, Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, dekat sini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lyee berkata, suspek yang sudah berumahtangga dan mempunyai seorang anak kecil itu bagaimanapun berjaya ditahan selepas 24 jam rundingan dengan keluarga mangsa dilakukan.

“Lelaki tempatan itu ditangkap unit siasatan dengan bantuan polis Bukit Aman ketika urusan penyerahan wang tebusan dilakukan di hadapan sebuah hotel di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal kira-kira jam 10 malam semalam (kelmarin).

“Ketika tangkapan, selain pakaian suspek, kita turut merampas tiga buah telefon bimbit dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian culik itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di Bukit Beruang, dekat sini, semalam.

Ghee Lye berkata, selepas ditangkap, suspek yang mengaku melakukan penculikan kerana masalah kewangan turut membawa polis ke premis kosong terbabit yang menjadi tempat mangsa dikurung dan diikat.

“Siasatan awal mendapati suspek mula mengenali mangsa beberapa bulan lalu di sebuah kafe siber berhampiran rumah mereka juga di Taman Merdeka Jaya.

“Pada hari kejadian, suspek yang berjumpa mangsa kemudian memperdaya untuk mengikutnya ke sebuah kafe siber dan bermain komputer secara percuma sebelum bertindak mengurung mangsa di kedai kosong berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang mempunyai rekod ‘dikehendaki polis’ itu kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 28 April ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Suspek yang dikehendaki bagi kes membabitkan kesalahan trafik di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 kerana menculik,” katanya. Sinar Harian

No comments:

Post a Comment