Posted on Saturday, April 19 @
00:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan
Bermula tahun 1967, setiap orang Chagos yang
meninggalkan Pulau Diego Garcia untuk rawatan perubatan atau bercuti di
Mauritius, tidak lagi dibenarkan pulang ke tanah air mereka.
Tanpa
ditemani keluarga atau harta benda, penduduk asal pulau yang terletak di jantung
Lautan Hindi itu terpaksa merempat di penempatan setinggan Mauritius. Sehingga
tahun 1973, hampir 1,200 orang Chagos dipindah secara paksaan ke Mauritius dan
Seychelles.
Keluarga Jeannette Alexis antara penduduk Diego Garcia
terakhir dipindahkan. Imbas Alexis: "Ayah memberitahu bahawa kami mesti
meninggalkan pulau ini (Diego Garcia) kerana orang Amerika akan berpindah masuk
dan ia tidak lagi selamat untuk kami sekeluarga."
Sudahlah mereka
dihalau, haiwan peliharaan mereka terutama anjing dibunuh tentera British
menggunakan gas dan kemudiannya dibakar.
"Anda boleh bayangkan tekanan
yang mereka letakkan ke atas kami. Saya menangis dan berpaut pada kaki ibu dan
walaupun masih kecil ketika itu, saya sedar bahawa kami telah meninggalkan
sesuatu yang berharga dan ia merupakan rumah kami," luah Alexis.
Marcel
Moulinie, pengurus sebuah ladang kelapa di pulau berkeluasan 44 kilometer (km)
persegi itu menceritakan, dia diarahkan kerajaan British untuk memindahkan semua
penduduk keluar.
"Apabila tiba waktu berpindah, mereka tidak dibenarkan
membawa apa-apa selain beg berisi baju. Kapal kargo pemindahan yang digunakan
pula kecil dan mereka terpaksa berhimpit selama lima jam," dedah
Moulinie.
Penduduk Diego Garcia memberitahu bahawa mereka meninggalkan
syurga dan dicampak ke neraka apabila tiba di Pelabuhan Louis, Mauritius.
Berbekalkan kepakaran menangkap ikan dan berkebun, tanpa kemahiran profesional,
mereka berdepan kesulitan mengadaptasi kehidupan di bandar serba lengkap
itu.
Tambah menyayat hati, selepas ditinggalkan tanpa wang, pekerjaan
yang dijanjikan dan rumah baharu, orang Chagos terpaksa berdikari hidup dalam
buangan di tanah asing.
Selepas tiga dekad, tiada siapa mengetahui kisah
kesengsaraan orang Chagos sehingga seorang penduduk asalnya, Olivier Bancoult,
presiden bagi Persatuan Pelarian Chagos mendakwa kerajaan Britain di
mahkamah.
Amarah Bancoult tidak terbendung setiap kali mengenang
penderitaan yang dilalui bangsanya. Tiga abang Bancoult mati sebagai pemabuk
akibat berputus asa dengan kesempitan hidup kritikal manakala adik perempuannya
membunuh diri kerana terlalu merindui Diego Garcia.
No comments:
Post a Comment