expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

18 April, 2015

SURAT PRESIDEN INDONESIA TAK LAKU, HUKUMAN PANCUNG TETAP DIJALANKAN (VIDEO)

Siti Zainab Duhri Rupa
JAKARTA – Hanya dalam tempoh waktu kurang daripada 72 jam, kerajaan Arab Saudi sekali lagi memancung kepala seorang wanita rakyat Indonesia sebagai hukuman hudud ke atas pesalah terbabit kerana jenayah pembunuhan dilakukan.

Setelah Siti Zainab Duhri Rupa dari Bangkalan, Madura dipenggal kepalanya pada pagi Selasa di Madinah, kali ini Arab Saudi menghukum mati Karni Medi Tarsim, berasal dari Brebes, Jawa Tengah pada pagi Khamis di penjara Yanbu dekat Jeddah.


Pemancungan itu dibuat setelah pihak keluarga mangsa enggan memaafkan pesalah yang membunuh anak perempuan mereka berusia empat tahun ketika bertugas sebagai pembantu rumah pada 2012 dan suspek dijatuhi hukuman pada 2013.

Sebelum ini, dua warganegara Indonesia telah menjalani hukuman pancung atas kesalahan sama pada 2008 dan 2011, manakala 34 lagi rakyat republik itu masih menunggu ‘giliran’ dipenggal kepala mereka jika proses rayuan gagal.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia Arrmanantha Nassi berkata, republik itu menghormati kedaulatan undang-undang Arab Saudi, namun sedih rayuan peringkat tertinggi termasuk melibatkan presiden ditolak keluarga mangsa.

“Pelbagai langkah telah kita lakukan, termasuk surat dari presiden, satu kali oleh Susilo Bambang Yudhoyono dan dua kali oleh Joko Widodo yang memohon ihsan Raja Arab Saudi untuk menunda hukuman mati dan memujuk keluarga korban,” katanya.

Bahkan Presiden Indonesia sendiri sanggup meminta jasa baik Raja Salman Abdulaziz Al-Saud untuk menjadi ‘orang tengah’ ketika proses rayuan agar hukuman berat itu boleh diturunkan sehingga ke peringkat qisas iaitu penjara dan denda.

“Keluarga Karni sudah dua kali ke sana bertemu Karni dan keluarga korban untuk mohon maaf. Menteri Luar juga pada pertemuan dengan wakil Menteri Luar Arab Saudi akhir bulan lalu minta bantuan,” ujar Arrmanantha.

Namun, semua usaha keras yang sudah dilakukan sejak 2013 masih tidak mampu membuka kemaafan daripada keluarga mangsa dan mereka menilai apa yang dilakukan Karni terlalu kejam, sehingga enggan memaafkan perbuatannya.

Sejak Januari lalu sehingga kini, Arab Saudi sudah menghukum mati 61 pesalah asing termasuk dari Pakistan, Syria, Myanmar, Jordan, Yaman, India dan Filipina manakala sepanjang 2014, seramai 90 orang dihukum pancung. – Agensi/A.AMREE



Karni Medi Tarsim

No comments:

Post a Comment