11 June, 2014
JEMAAH UMRAH MAKAN KELAMBU KAABAH
Pihak berkuasa Arab Saudi memaklumkan bahawa terdapat beberapa jemaah umrah yang menggunting dan makan benang kelambu Kaabah kerana kecetekan ilmu agama dan salah tanggapan.
Muhammad Bajoudah iaitu pengarah kilang membuat kelambu atau yang dipanggil kiswah tersebut berkata, perbuatan sia-sia itu dilakukan jemaah dari negara tertentu hingga mencacatkan kelambu berkenaan. Menurut Bajoudah, sebahagian besar jemaah yang melakukan perbuatan mencabut benang kelambu berkenaan dan menelannya kerana mempercayai amalan karut.
“Mereka cetek ilmu agama dan tidak menunaikan ibadah itu dengan betul sebaliknya melakukan amalan khurafat. Mereka mencabut benang menggunakan cincin dan gunting dengan harapan ia mendatangkan nasib yang baik dan berkat. Perbuatan mereka mencacatkan kiswah,” katanya.
“Jemaah berkenaan melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Mereka mencabut benang kiswah menyebabkan kelambu itu rosak. Saya berdoa kepada Allah SWT supaya menyedarkan kebodohan mereka,” katanya lagi.
Bajoudah bagaimanapun memberitahu, ada jabatan di kilangnya yang ditugaskan untuk membaiki bahagian kelambu yang sudah digunting atau dirosakkan. Menurutnya mereka mempunyai pakar dan pekerja untuk menangani masalah itu.
Kejadian seumpama itu berlaku setiap hari hingga memaksa mereka menempatkan pegawai dan pekerja di Masjidil Haram untuk sentiasa memeriksa kelambu itu.
Edited by,
Farahhasina
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment