expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

14 April, 2014

Kempen PKR: Media S'gor tersepit

14 Apr 2014


Di tengah-tengah kehangatan kempen, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi mangsa kecaman kerana didakwa menggunakan media rasmi negeri untuk berkempen bersaing kerusi timbalan presiden PKR.

Kritikan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor itu merujuk rencana di laman berita rasmi Selangor Kini berjudul “Pemilihan PKR 2014: Kenapa Tan Sri Khalid wajar diangkat sebagai timbalan presiden” pada 12 April.

Setiausaha AMK Selangor Saifuddin Shafi Muhammad berkata, akaun laman sosial di Facebook dan Twitter media sama turut “disalah guna” untuk berkempen.


"Tindakan sebegini sememangnya memalukan memandangkan ia bertentangan dengan pendirian dan prinsip PKR, khususnya serta Pakatan Rakyat amnya, yang konsisten membantah tindakan BN yang menyalahgunakan media rasmi kerajaan seperti RTM bagi kepentingan politik mereka," katanya.

Artikel yang memetik blog omakkau.blogspot.com itu menyeru ahli PKR mengundi Khalid sebagai timbalan presiden parti dalam pemilihan parti yang bakal berjalan dari 26 April hingga 12 Mei akan datang.

Dalam kenyataannya hari ini, Saifuddin juga meluahkan rasa kesal kerana Khalid sebelum ini terkenal dengan imej bersih dan berintegriti serta tidak menyalahgunakan jentera kerajaan negeri untuk agenda peribadi.


"AMK Selangor kesal dan kecewa kerana sosok menteri besar Selangor yang sering menonjolkan dirinya sebelum ini sebagai seorang pemimpin yang bersih dan berintegriti akhirnya kini bertindak menyalah gunakan portal media rasmi kerajaan negeri bagi tujuan politik peribadi beliau," katanya.

Khalid bakal berhadapan dengan penyandang timbalan presiden Azmin Ali, Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan ketua cabang Hulu Selangor Datuk K Ramachandran bagi jawatan kedua tertinggi parti itu.

Seramai 496,923 dari sejumlah 500,001 ahli parti layak mengundi dalam pemilihan kali ini.


Sementara itu, Selangorku – rangkaian media kerajaan negeri – ketika dihubungi berkata akan membuat kenyataan rasmi mengenai perkara ini esok.

No comments:

Post a Comment