Kapal disyaki menyeludup diesel bersubsidiPORT DICKSON, 5 April (Bernama) -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata kementeriannya berjaya mematahkan percubaan menyeludup lebih 1.34 juta liter diesel bersubsidi ke luar negara dalam Ops Diesel East Coast 1 (ODEC1) di jeti Pelabuhan Kuantan, Pahang, Jumaat.
Beliau berkata operasi yang dijalankan kira-kira 12 tengah malam itu berjaya membuat rampasan terbesar setakat ini dengan jumlah mencecah RM8.4 juta merangkumi nilai lori tangki, kapal dan minyak diesel.
Katanya, dalam operasi itu, 12 lelaki warga asing yang terdiri daripada 11 anak kapal (10 dari Myanmar dan seorang dari Indonesia) dan seorang kapten ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
"Dalam operasi bersepadu bersama pasukan petugas khas Jabatan Peguam Negara, kita berjaya mengesan dan membongkar satu aktiviti penyeludupan minyak diesel menggunakan kapal asing.
"Kita berjaya merampas 1.3 juta liter minyak diesel yang berada dalam kapal berkenaan, manakala 42,000 liter lagi dalam sebuah lori tangki di tempat yang sama," katanya kepada pemberita selepas program tinjauan mesra bersempena pelancaran Kempen Penurunan Harga 2014 Fasa II di Port Dickson, Sabtu.
Hasan berkata hasil kerjasama polis, kastam, imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang bersama dalam operasi itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membekukan 15 akaun bank dipercayai milik anggota sindiket terbabit dengan jumlah simpanan RM2.9 juta mengikut Akta Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau berkata kementeriannya akan meneruskan siasatan dan serbuan dari semasa ke semasa dalam usaha melumpuhkan terus rangkaian sindiket itu, yang didapati bergerak aktif terutama di kawasan perairan, dalam negara, kawasan perindustrian dan sempadan negara jiran.
"Hasil pemantauan dan tindakan yang diambil sebelum ini didapati aktiviti penjualan dan pembelian diesel adalah melibatkan pemborong berlesen dan pemilik stesen minyak.
"Tindakan tegas akan diambil seperti pembatalan lesen dan permit oleh kementerian dan pengedar oleh syarikat minyak. Pihak KPDNKK akan terus berganding bahu dengan agensi penguatkuasaan dalam menangani isu penyelewengan diesel dan petrol di dalam negara," katanya.
Hasan berkata kesalahan yang dikesan ialah mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu melanggar syarat lesen dan menyimpan diesel serta petrol di tempat yang tidak dilesenkan. Menteri itu berkata tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang melakukan perbuatan itu seperti membatalkan lesen dan permit mereka.
Sementara itu, di KUANTAN, Pahang, Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin berkata akaun yang dibekukan itu milik syarikat dan perseorangan warga tempatan.
"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya sindiket itu didalangi warga tempatan dan mempunyai rangkaian meluas dari utara, selatan hingga pantai timur. Kita telahpun mengenal pasti dalang dan rangkaian yang terlibat, dan mereka yang berkenaan 'perlu berhati-hati' kerana kita akan dapatkan mereka pula tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi serbuan, Sabtu.
Mohd Roslan berkata rampasan itu dilakukan hasil risikan hampir tiga minggu.
Beliau berkata sindiket itu didapati menggunakan modus operandi mengutip sumber minyak diesel bersubsidi daripada stesen minyak dan nelayan tempatan, bukan sahaja di Kuantan tetapi juga dari utara termasuk Pulau Pinang, Kedah, Lembah Klang, Melaka dan Negeri Sembilan.
"Minyak ini kemudian dikumpul dan dibawa dengan lori untuk dihantar ke tangki simpanan persendirian yang disewa sebelum disalurkan ke kapal berkenaan yang berdaftar di Singapura.
"Kapal itu akan membawa minyak diesel yang diperoleh secara tidak sah itu untuk dijual ke Vietnam, Hong Kong dan Singapura, dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana diesel bersubsidi hanyalah untuk dinikmati oleh rakyat negara ini," katanya.
Mohd Roslan berkata berdasarkan cara operasi, pihaknya percaya sindiket itu sudah lama melakukan perbuatan tersebut, bagaimanapun, tidak dapat memastikan tempoh sebenar.
--BERNAMA



No comments:
Post a Comment