expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

09 April, 2014

Sabah kaji lesen resort guna PATI

 9 Apr 2014



Kabinet Sabah hari ini bersetuju mengkaji semula lesen perniagaan semua pengusaha resort di negeri ini yang mengambil pekerja tidak memiliki dokumen sah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun berkata langkah itu termasuk mewajibkan pengusaha resort mengemukakan senarai semua pekerja mereka bersama butiran peribadi masing-masing untuk tapisan keselamatan oleh polis dan Jabatan Imigresen.

Katanya, pengusaha resort mempunyai masa sebulan, mulai hari ini, untuk berbuat demikian, dengan pengusaha resort di pantai timur dikehendaki mengemukakan senarai pekerja mereka kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), manakala mereka di pantai barat pula, kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

"Ini (kewajipan mengemukakan senarai pekerja) bukan bermaksud untuk menghukum pengusaha resort, tetapi untuk mendidik mereka supaya mematuhi undang-undang dan tidak mengambil pekerja tanpa izin atau yang tidak memiliki dokumen sewajarnya," katanya pada sidang akhbar bersempena mesyuarat Kabinet negeri di Kota Kinabalu.

Masidi diminta mengumumkan perkara itu oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, yang mempengerusikan mesyuarat tersebut ketika sidang akhbar itu diadakan.

Masidi berkata keputusan itu diambil berikutan kes penculikan seorang wanita China dan seorang pekerja resort warga Filipina di Pulau Singamata, Semporna pada 2 April.

Menurutnya, melalui senarai pekerja yang dikemukakan pengusaha resort, agensi keselamatan boleh membuat pemantauan dan risikan dengan lebih mudah apabila berlaku sesuatu kes penculikan atau keganasan.

Beliau berkata Kabinet negeri juga bersetuju untuk tidak mengeluarkan permit kepada pengusaha bot penumpang, terutama bagi membawa pelancong ke pulau, tanpa terlebih dahulu melalui proses tapisan keselamatan serupa.

Katanya Kabinet negeri akan mengkaji semula kuasa Taman-taman Sabah dalam meluluskan pemajakan tanah kepada syarikat yang ingin mengusahakan resort.

"Oleh kerana isu keselamatan merupakan sesuatu yang amat penting dalam agenda Sabah, untuk memberi jaminan kepada pelancong bahawa tempat kami (di Sabah) adalah selamat, kerajaan negeri telah membuat keputusan bahawa kuasa tertentu yang selama ini diberi kepada Lembaga Pemegang Amanah Lembaga
Taman-taman Sabah, akan dikaji semula dan diambil alih oleh Kabinet negeri.

"Ini kerana Kabinet negeri adalah pihak yang berkedudukan paling wajar untuk membuat penilaian tentang kewajaran sesuatu tanah itu dipajakkan oleh Taman-taman Sabah bagi tujuan pembukaan resort," katanya.

Masidi berkata semua permohonan bagi pemajakan tanah di bawah Taman-taman Sabah akan dibekukan sehinggalah peraturan baharu mengenainya disediakan.


- Bernama

No comments:

Post a Comment