SAYA ada terima kiriman emel daripada seorang
pembaca yang saya akan rujuk beliau sebagai Puan H sahaja. Dia mengadu baharu
bercerai dengan suaminya selepas 15 tahun berkahwin.
Perkahwinan atas dasar suka sama suka itu
terpaksa diputuskan kerana Puan H tidak tahan lagi dengan perangai suami yang
menggunakan perkahwinan itu sebagai tempat untuk si suami bergantung dari segi
kewangan dan kesenangan hidupnya.
Dalam emel itu Puan H seorang yang berkerjaya
profesional memberitahu, pada awal perkahwinan dia tidak kisah berkorban dan
membantu meringankan beban kewangan suami dengan menanggung pelbagai
perbelanjaan termasuk membeli kereta dan rumah yang diletakkan atas nama
suami. Puan H berharap bila beban kewangan semakin
baik, maka suami akan menggunakan wang gajinya pula untuk keluarga. Namun,
perkara itu tidak pernah berlaku. Akibatnya kata Puan H, dalam tempoh 15 tahun
perkahwinan itu, duit simpanannya berjumlah RM300,000 habis dibelanjakan untuk
keperluan suami.
Lebih menyedihkan kata Puan H, rumah yang
dibeli menggunakan duitnya tetapi diletakkan nama suami telah dijual oleh suami
tanpa pengetahuannya. Melalui emel itu, Puan H ingin tahu sama ada
dia mempunyai hak untuk membuat tuntutan di mahkamah bagi menuntut kembali semua
wang yang telah dibelanjakan untuk bekas suaminya dalam tempoh 15 tahun
perkahwinan mereka itu.
Saya harap Puan H dapat bersabar dengan dugaan
ini di samping mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi.
Ini yang dikatakan harapkan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah
hari. Bagi wanita yang telah banyak mengeluarkan duit
untuk suami, atau yang menanggung semua perbelanjaan rumahtangga termasuk
menanggung suami, perlu dibuat surat pengakuan hutang yang ditandatangani oleh
pihak yang berhutang (suami) dan pihak yang memberi hutang (isteri), supaya
tuntutan lebih senang dibuat jika bercerai kerana ada perjanjian secara
bertulis.
Perjanjian bertulis adalah bukti kukuh yang
sukar disangkal. Beringat sebelum kena dan sediakan payung sebelum hujan adalah
dua pepatah melayu yang harus disemat di hati para isteri walaupun berkahwin
atas dasar saling mencintai, kerana langit tidak selalu cerah.
Menyara keluarga adalah dipertanggungjawabkan
ke atas suami. Apabila sempurna saja ijab kabul sesuatu perkahwinan, maka
tanggungjawab terus wujud di bahu suami. Penyaraan nafkah bermaksud suami menanggung
semua perbelanjaan isteri yang meliputi makanan, minuman, pakaian, tempat
tinggal dan perubatan. (rujuk Surah al-Talaq ayat 7).
Apabila suami tidak memenuhi kewajipannya maka
isteri berhak menuntut. Namun begitu, isteri berhak mendapat hak nafkah dari
suaminya hanya selama mana isteri taat kepada suaminya mengikut hukum
syarak. Suami juga hanya menanggung semua perbelanjaan
isteri hanya selagi perkahwinan masih wujud.
Sekiranya suami meminta wang isteri dan isteri
memberikan dengan rela hati tanpa sebarang paksaan dengan niat untuk membantu
suami, ia tidak dianggap sebagai hutang. Sekiranya suami meminta duit isteri dengan cara
memaksa dan tanpa kerelaan isteri, maka isteri berhak menuntut duit itu daripada
suami kerana ia dianggap sebagai hutang.
Walaupun tiada peruntukan khusus mengenai
hutang piutang antara suami isteri, seksyen 61 Enakmen Pentadbiran Agama Islam
(Negeri Selangor) 2003 menjelaskan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang
kuasa mendengar serta memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak
dalam tindakan itu adalah orang Islam. Tindakan itu berkaitan dengan pertunangan,
perkahwinan, rujuk, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz atau
perkara pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara berkaitan perhubungan
suami isteri; apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada
mana-mana perkara dinyatakan di atas.
Dalam kes Moriazi Mohamad lawan Ajmawati Attan,
Mahkamah Rayuan Syariah Selangor memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah
mempunyai bidang kuasa membicarakan tuntutan hutang piutang, walaupun tiada
peruntukan khusus mengenainya. Tuntutan hutang piutang itu terbit daripada
perkahwinan mereka.
Sama seperti dalam kes Puan H, iaitu wujudnya
hutang bekas suami kepada puan adalah daripada perkahwinan antara puan dengannya
(bermakna jika puan tidak berkahwin dengan bekas suami, perkara hutang piutang
ini tidak berlaku). Maka, Mahkamah Syariah berkuasa mendengar dan memutuskan
tuntutan puan.
Ini dikuatkan lagi dengan peruntukan dalam
seksyen 245(2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Selangor 2003 bahawa jika
wujud lacuna (lompang/loopholes) atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan
dengan nyata oleh enakmen ini, mahkamah hendaklah memakai hukum syarak.
Seksyen ini memberi kuasa kepada Mahkamah
Syariah menggunakan peruntukan hukum syarak kerana peruntukan khusus tidak wujud
dalam mana-mana undang-undang bertulis dalam hal ini.
Berdasarkan peruntukan undang-undang yang
disebut di atas dan kes Mahkamah Rayuan Syariah Selangor yang diputuskan itu,
puan boleh menuntut hutang suami terhadap puan di Mahkamah Syariah dan bukan di
Mahkamah Sivil.
Dalam kes puan, beban pembuktian adalah di atas
puan. Ini bermakna, puan harus membuktikan bahawa suami puan telah berhutang
dengan puan, sebanyak yang dituntut. Untuk ini, lebih kukuh jika puan dapat
mengemukakan saksi, bukti dokumen, lain-lain bukti bertulis dan lisan dan
sebarang bentuk bukti bagi menyokong keterangan.
Berhubung had masa pula, berbeza tuntutan
hutang di Mahkamah Sivil yang hanya boleh dibuat dalam tempoh enam tahun
daripada tarikh keingkaran, di Mahkamah Syariah dan dalam hukum syarak tidak
memperuntukkan masa seperti itu. Ini bermakna tiada had masa bagi tuntutan di
Mahkamah Syariah.
Tuntutan hutang juga tidak akan memprejudiskan
tuntutan lain yang puan failkan terhadap bekas suami seperti mutaah dan harta
sepencarian.
Merujuk kepada adakah harta puan adalah hak
milik puan sepenuhnya atau turut menjadi hakmilik suami? Ada beberapa hadis dan
hukum oleh para ulamak mengenai kedudukan harta isteri, antaranya: Harta isteri
adalah hakmilik penuh isteri. Harus ia membelanjakannya mengikut kehendaknya
asalkan perbelanjaan itu bukan munkar dan maksiat. Begitu juga, tidak harus
suami mengambil harta milik isteri melainkan dengan kerelaan dari isteri.
Sabda Rasulullah saw: “Tidak halal harta
seorang Muslim yang lain melainkan dengan kerelaan hatinya" (HR Imam
ad-Daruqutni dari Anas bin Malik).
Para ulama pada Persidangan Fiqh kali ke 16,
pada 9-14 April 2005, di Dubai memutuskan: “Isteri mempunyai hak mutlak dalam
lingkungan hukum-hakam Syariat bagi harta/wang yang ia perolehi dari
pekerjaannya. Kekayaan peribadinya adalah milik penuhnya. Ia mempunyai hak
pemilikan dan hak berbelanja bagi harta yang ia miliki dan suami tidak mempunyai
kuasa ke atas harta miliknya. Ia juga tidak memerlukan izin dari suami untuk
memiliki dan berbelanja dari harta miliknya."
Dalam kitab Maratib al-Ijma’ ada ditegaskan:
“Para ulama telah sepakat menegaskan bahawa tidak halal suami bersedekah dari
harta milik isterinya melainkan dengan izin isterinya." (Maratib al-Ijma’, Imam
Ibnu Hazm, 1/92). Ijmak para ulama turut menegaskan bahawa:
“Suami tidak berhak menghalang isterinya yang berakal dan cerdik berbelanja dari
hartanya sendiri dalam perbelanjaan yang berbentuk tukaran seperti berjual-beli,
memberi upah dan sebagainya."
Harta isteri adalah miliknya maka isteri berhak
menyembunyikannya dari diketahui oleh orang lain termasuk suami lebih-lebih lagi
jika ada keperluan untuk isteri berbuat demikian dan mengelakkan
kemudaratan. Suami yang baik tidak patut mengambil
kesempatan dengan mengambil harta isteri dengan sengaja atas alasan pinjaman
tetapi kemudiannya tidak membayar pinjaman itu atas alasan wanita itu isterinya.
Salah satu tanggungjawab utama seorang suami terhadap isteri adalah berlaku adil
kepadanya kerana isteri itu adalah amanah Allah yang diserahkan kepada si
suami.
Suami hendaklah menjaga si isteri dan bukannya
memperhambakannya. - utusan online
No comments:
Post a Comment