expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

26 July, 2014

BANGKAI PESAWAT AH5017 DITEMUI


Unit Krisis Burkina Faso melaporkan mereka telah menemui lokasi nahas pesawat AH5017 di utara Mali.

Semalam, pesawat MD-83 buatan McDonnell Douglas itu dalam penerbangan dari Burkina Faso menuju ibu negara Algeria, Algiers membawa bersamanya 110 orang penumpang bersama enam anak kapal.

Menurut pihak berkuasa penerbangan serantau di kawasan itu, mereka terputus hubungan dengan penerbangan AH5017 pada pukul 1.55 pagi waktu tempatan kurang sejam selepas pesawat itu berlepas.

Ketika itu juga, ada permintaan daripada juruterbang untuk menukar laluan ekoran cuaca buruk.

Dalam usaha mencari bangkai AH5017, Tentera Perancis menghantar dua pesawat pejuang Mirage 2000 dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar helikopter untuk mengesan lokasi pesawat itu terhempas.

Untuk rekod, kawasan nahas pesawat Air Algerie itu juga merupakan kawasan konflik antara militan Islam dan pemisah Tuareg yang turut berlakunya insiden tembak-menembak.

Laporan televisyen Mali menyebut, bangkai pesawat itu ditemui antara bandar Gossi dan sempadan Burkina Faso.

Presiden Ibrahima Boubacar akan membuat lawatan ke lokasi nahas hari ini.

Anggota Unit Krisis Jeneral Gilbert Diendere berkata pasukan penyiasatnya sudah pun memeriksa kawasan serpihan pesawat yang terletak berhampiran Kampung Boulikessi.

“Pasukan itu telah mengesahkan berjaya melihat serpihan pesawat itu yang dilihat terbakar dan bertaburan di atas permukaan tanah.

“Menyedihkan apabila pasukan itu tidak menemui langsung mereka yang terselamat,” katanya.

Menteri Komunikasi Burkina Faso; Alain Edouard Traore berkata kemalangan itu merupakan yang terburuk dalam sejarah penerbangan di negara itu.

Presiden Blaise Compaore mengisytiharkan dua hari untuk rakyat Burkina Faso berkabung menghormati kesemua 116 mangsa nahas pesawat AH5017, bermula hari ini.

Pihak berkuasa memaklumkan senarai kewarganegaraan penumpang pesawat berkenaan iaitu Perancis (51), Burkina Faso (27), Lebanon (8), Algeria (6), Kanada (5), Jerman (4), Luxembourg (2), Cameroon (2), Beligum (1), Mesir (1), Ukraine (1), Switzerland (1), Nigeria (1) dan Mali (1).

Menurut Kementerian Luar Lebanon, Kedutaan di Abidjan menganggarkan ada penumpang dari negaranya sekurang-kurangnya 20, ada antara mereka mungkin memegang dwi kerakyatan.

“Kami masih tidak mengetahui apa, kami baru sahaja menerima berita bahawa pesawat itu hilang,” kata Amina Daher, yang mana kakak iparnya Randa berada di dalam pesawat bersama tiga anaknya.

Empat beranak itu dalam perjalanan pulang ke Beirut untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarganya.

No comments:

Post a Comment