expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

02 April, 2014

UK Hantar Kapal Selam HMS Tireless Bantu Pencarian MH370


Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berbicara dengan Brig Gen Mark McLeod Pegawai Pemerintah Amerika Syarikat Bagi Pasifik sejurus tiba di Honolulu Isnin bagi menghadiri forum Pertahanan Amerika Syarikat-Asean
Daripada Abdul Muin Abdul Majid

HONOLULU, 2 April (Bernama) -- Kapal selam British HMS Tireless menyertai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines yang hilang awal bulan lepas, di Lautan Hindi.

Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata maklumat ini disahkan oleh rakan sejawatnya Philip Hammond dalam satu perbualan telefon pagi Selasa. Hawaii adalah 18 jam lewat di belakang Malaysia.

"Ini adalah satu sumbangan daripada rakan Malaysia yang amat dihargai bukan sahaja oleh kami tetapi juga rakan-rakan operasi pencarian penerbangan MH370," katanya kepada Bernama di sini.

Hishammuddin tiba di sini Isnin untuk menghadiri Forum Pertahanan Amerika Syarikat-Asean atas inisiatif Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Chuck Hagel.

Pesawat Boeing 777 dengan 239 penumpang dan anak kapal itu yang dalam penerbangan ke Beijing hilang secara misteri pada 8 Mac lepas ketika merentasi Laut China Selatan, selepas kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 tengah malam.

Para pemerhati berkata ia menunjukkan sokongan berterusan United Kingdom kepada percubaan pelbagai negara untuk mengesan pesawat yang hilang itu.

Peralatan pendengaran dalam air yang canggih dimiliki HMS Tireless akan digunakan untuk mengesan lampu isyarat pengesan perakam penerbangan pesawat itu.

Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata HMS Tireless, sebuah kapal selam nuklear kelas Trafalgar, berkeupayaan untuk beroperasi di kawasan persekitaran maritim yang paling teruk, seperti di Kutub Selatan.

Tambahan pula, UK telah menghantar HMS Echo untuk membantu pencarian.

"Saya berharap setiap orang akan mendoakan kesemua aset yang kita ada boleh mengenalpasti objek-objek yang dikesan oleh satelit-satelit dalam pencarian penerbangan MH370," kata Hishammuddin.

Sementara itu, kapal selam kelas Trafalgar Britain, HMS Tireless, telah tiba di selatan Lautan Hindi tatkala misi mencari pesawat Malaysia yang hilang di kawasan itu masuk hari ke-26 Rabu.

Suruhanjaya Tinggi Britain di Malaysia, dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini, berkata Setiausaha Negara bagi Pertahanan UK Philip Hammond memaklumkan perkara itu kepada Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi telefon semalam.

"Dengan keupayaan melakukan pencarian di dalam air, kapal selam HMS Tireless akan dapat membantu dalam usaha untuk mengesan lokasi pesawat hilang itu.

"UK sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa Malaysia sejak kehilangan pesawat itu dan memberikan pelbagai bantuan," menurut kenyataan itu.

Kapal peninjau hidrografik pelbagai fungsi, HMS Echo, dijadual tiba di selatan Lautan HIndi untuk membantu misi pencarian itu, katanya.

"Selain membantu usaha mencari transponder pada kotak hitam, HMS Echo akan memainkan peranan penting dalam pencarian serpihan di permukaan air. Kecanggihan dan keupayaannya dalam menilai keadaan persekitaran juga akan membantu pihak berkuasa pencarian untuk mengoptimumkan operasi pencarian," menurut kenyataan itu.

Kerajaan UK juga membantu dengan meminjamkan pakar untuk memberikan bantuan teknikal dan keupayaan kepakaran dari Kementerian Pertahanan, Pejabat Hidrografik, Jabatan Pengangkutan dan Pejabat Meteorologi untuk membantu mengesan pesawat itu, katanya.

Empat anggota Tentera Udara Diraja yang dipinjamkan ke Tentera Udara Diraja Australia dan Tentera Udara Diraja juga terlibat secara aktif dalam operasi pencarian maritim, menurut kenyataan itu.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya - selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan - di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.

Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth, Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment