expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

02 April, 2014

Wakil Rakyat Kesal Ada Pihak Jadikan Tragedi MH370 Batu Loncatan Burukkan K'jaan

IPOH, 1 April (Bernama) -- Seorang wakil rakyat daripada Barisan Nasional hari ini melahirkan rasa kesal apabila ada pihak tertentu yang menjadikan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai batu loncatan untuk memburuk-burukkan kerajaan.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata dalam kesungguhan kerajaan melancarkan operasi mencari pesawat berkenaan dan kesedihan kaum keluarga penumpang dan anak kapal MH370, ada pula pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh.

"Tragedi bagi mereka adalah kesempatan untuk meraih sokongan politik secara tidak berperikemanusiaan," katanya ketika membahaskan titah ucapan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Beliau mendakwa usaha memburuk-burukkan kerajaan dengan niat politik lebih jelas ditonjolkan oleh Red Bean Army (RBA), didalangi pembangkang, yang melancarkan serangan dan mencipta pelbagai macam fitnah untuk menanam kebencian rakyat terhadap kerajaan.

"Mereka turut menyebarkan fitnah di laman-laman sosial di negara China termasuk Weibao (laman social seperti Twitter di China) untuk memberi gambaran yang salah sekali gus membangkitkan kemarahan rakyat negara itu termasuk keluarga penumpang MH370 terhadap kerajaan Malaysia," katanya.

Beliau berkata sasaran utama mereka ialah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Malaysia Airlines (MAS).

Katanya selain mencemuh kepimpinan negara yang dikutuk sebagai tidak pandai mengurus krisis, RBA bertalu-talu memperlekeh aset pertahanan negara dengan menggunakan fakta songsang, malah tidak memberi sebarang maklumat yang diperoleh daripada sumber yang sah.

"Ketika kepimpinan negara bertungkus lumus mencari MH370, selain berusaha menyalurkan maklumat benar berdasarkan sumber dan data hasil kerjasama pelbagai negara, RBA pula memilih untuk mencari bahan-bahan yang boleh menghakis kredibiliti kerajaan," katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas tindak-tanduk melampau RBA itu kerana ia mengancam ketenteraman awam dan mendatangkan kemudaratan terhadap imej negara.

"Tumpuan tindakan juga perlu menjurus terhadap dalang yang berada di belakang RBA," katanya.

Persidangan dewan bersambung esok.

-- BERNAMA  

No comments:

Post a Comment