expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

25 July, 2014

NURUL IZZAH CADANG ISU MH17 DIBAWA KE MAHKAMAH KEADILAN ANTARABANGSA


Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini mencadangkan Malaysia menggunakan platform Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk tindakan susulan berhubung tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di timur Ukraine, minggu lepas.

Menurut Nurul Izzah, meskipun Malaysia belum menganggotai mahkamah itu, namun terdapat peruntukan yang membolehkan kes terbabit dibicarakan di sana.

Ketika mengulas mengenai perkara itu, beliau telah mengambil contoh insiden pesawat penumpang Iran Air Penerbangan 655 yang ditembak jatuh pada 1988 oleh tentera Amerika Syarikat telah dibicarakan di mahkamah itu sekalipun Iran bukan negara anggota dan kes itu berjaya diselesaikan.

Beliau berkata, "Laluan yang diambil (dalam kes Iran Air) pada masa itu memberi sedikit panduan tentang apa yang kita akan buat dalam jangka masa pendek dan panjang,"

“Setakat ini, Malaysia telah menunjukkan yang kita tidak tunduk pada mana-mana kuasa besar. Tapi pada masa yang sama kita harus jelas dengan tindakan seterusnya,” katanya ketika membahaskan usul mengenai tragedi yang menimpa pesawat MAS, MH17 pada mesyuarat khas Parlimen di sini hari ini.

Baginya adalah penting untuk kes itu dibawa ke peringkat antarabangsa berbanding hanya berlandaskan undang-undang sesebuah negara, kerana ia membabitkan banyak pihak.

Kenyataan ini dibuat rentetan daripada tragedi pesawat malang milik Malaysia Airlines, MH17 dengan 298 penumpang yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dipercayai ditembak dan terhempas di wilayah Donetsk.

No comments:

Post a Comment