expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

09 July, 2014

AKSI SAMBA JADI 'SAMBAL' BUAT BRAZIL


JERMAN CIPTA SEJARAH AIBKAN BRAZIL DI TEMPAT SENDIRI

Ternganga, terkedu, terkejut...mungkin inilah antara reaksi para peminat pasukan gergasi bola sepak Brazil yang nyata dimalukan dengan teruk di tempat sendiri dalam perlawanan bola sepak separuh akhir Piala Dunia musim ini.

Entah di mana silapnya, Brazil begitu ampuh dan mudah dibuli oleh pasukan Jerman yang memperoleh kemenangan bergaya 7-1. Pasti keputusan mengejutkan ini di luar dugaan semua pihak terutamanya peminat bola sepak dunia.

Tiada siapa pernah menduga pasukan yang sememangnya satu nama besar dalam arena bola sepak antarabangsa itu akan diaibkan di tempat sendiri. Seperti terkena sumpahan, segala gerak dan aksi para pemain Brazil serba tak kena dan tidak menjadi. 

Dalam sejarah Piala Dunia, ini merupakan rekod keputusan terburuk bagi perlawanan di peringkat separuh akhir sejak tahun 50-an.

Benteng pertahanan Brazil dilihat begitu lemah dan mudah dibolosi pasukan Jerman yang seolah-olah berhadapan dengan satu pasukan anak-anak kecil. Titik hitam bermula buat Brazil yang seakan terkedu dengan jaringan Thomas Muller seawal minit ke-11. 

Jaringan yang benar-benar mengejutkan Brazil ini menjadikan pasukan itu seakan terpukau dan tidak mampu berbuat apa-apa dalam beberapa minit seterusnya. Hanya dalam sela masa 6 minit, Jerman berjaya menjaringkan 4 gol tanpa henti yang benar-benar menjadi satu sejarah dalam rekod bola sepak Piala Dunia peringkat separuh akhir. 

Bermula dengan gol kedua Jerman, melalui Miroslav Klose pada minit ke-23, pasukan Jerman terus membolosi gol Brazil dengan jaringan demi jaringan. Hanya seminit selepas gol Klose, Toni Kroos menghadirkan gol ketiga Jerman pada minit ke-24 dan terus menyumbat satu gol lagi pada minit ke-26. 

Jerman terus berpesta gol dengan jaringan Sami Khedira pada minit ke-29 untuk menyukarkan laluan Brazil pada separuh masa pertama dengan 5 gol.

Lemah, tidak berdaya, tiada rentak, tiada strategi, mungkin inilah antara elemen yang dapat dilihat pada pasukan Brazil yang langsung tidak melawan dan tidak memberi saingan walaupun sudah ketinggalan 5 gol pada separuh masa pertama. Tiada cubaan tepat yang dibuat Brazil bagi membalas segala serangan Jerman.

Namun, Brazil dilihat sedikit berbeza dan mengubah rentak permainan dengan lebih rancak pada awal separuh masa kedua. Mungkin, tuah juga sekan tidak menyebelahi mereka kerana segala cubaan yang dibuat gagal menghasilkan gol. 

Lebih menyulitkan apabila pasukan Jerman yang begitu selesa dengan 5 jaringan telah memantapkan benteng pertahanan mereka yang nyata gagal dibolosi Brazil. Jerman bijak bertahan dan hanya sesekali membuat serangan. 

Walaupun begitu, segalanya tampak begitu indah buat Jerman yang nyata melakar sejarah manis di Belo Horizonte kerana cubaan Andre Schurrle nyata berjaya menghasilkan jaringan pada minit ke-69. Jaringan tersebut sememangnya menutup segala ruang dan peluang buat Brazil untuk bangkit menentang.

 Tidak cukup dengan itu, Schurrle sekali lagi menghukum benteng pertahanan Brazil dengan jaringan ke-7 Jerman pada minit ke-79.

Brazil yang telah hilang motivasi apabila menerima aib sebegitu, walau bagaimana pun tetap dihadiahkan satu gol sagu hati di akhir permainan pada minit ke-90 menerusi jaringan Oscar. 

Keputusan memalukan buat Brazil ini benar-benar memberi tamparan hebat dan mencalar maruah Brazil sebagai satu pasukan yang amat digeruni dalam bola sepak dunia. 

Tangisan ribuan peminat bola sepaknya hari ini membanjiri stadium di Belo Horizonte. Tiada ungkapan kata-kata yang mampu diluahkan, hanyalah kini saat berkabung buat seluruh rakyat Brazil dengan aib itu.

Inilah realiti bola sepak. Kadangkala banyak perkara yang tidak diduga terjadi dalam perlawanan bola sepak walaupun ia bertaraf antarabangsa. Harus diingat bola itu bulat, apa pun boleh berlaku. 

Bagaimana pula pengakhiran keputusan bagi satu lagi perlawanan separuh akhir yang akan menemukan Belanda dan Argentina? Pasukan manakah yang kini dinanti Jerman untuk perlawanan akhir? Sama-sama kita nantikan keputusannya nanti.

TANGISAN HIBA PENYOKONG BRAZIL
PEMAIN BRAZIL BENAR-BENAR KECEWA DAN SUKAR MEMPERCAYAI KEKALAHAN MEREKA

By;
Farahhasina


No comments:

Post a Comment