expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

14 July, 2014

PIALA DUNIA 2014 MILIK JERMAN


MARIO GOTZE BERJAYA MEMECAH KEBUNTUAN GOL PADA PERLAWANAN AKHIR
Debaran kini sudah berakhir, demam Piala Dunia beransur reda dan penantian juara juga sudah tiba ke penghujungnya. Kini segala tanda tanya tentang destinasi Piala Dunia 2014 terlerai sudah apabila Jerman secara mutlak menjadi Juara Piala Dunia 2014 menewaskan Argentina 1-0.

Kemenangan Jerman ini meletakkan mereka sebagai juara sebanyak 4 kali yang pernah berjaya menjulang Piala Dunia.

Perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Maracana, Rio, bermula dengan sambutan penuh kemeriahan dan warna warni. Stadium Maracana begemerlapan dengan pelbagai persembahan tarian dan penyanyi sensasi Columbia, Shakira juga hadir membuat persembahan lagu tema Piala Dunia 2014 sebelum sepak mula. 

Stadium Maracana dibanjiri dengan lautan manusia yang hadir untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak terunggul di dunia itu yang menemukan pasukan Jerman dan Argentina.

Mengulas tentang perlawanan tersebut, apa yang boleh diperkatakan adalah ia menepati ramalan perlawanan akhir di mana kedua-dua pasukan dilihat mempunyai keseimbangan mengawal permainan. Namun begitu, Jerman dilihat mempunyai sedikit kelebihan berbanding Argentina di mana peratus pengawalan bola adalah 53% daripada keseluruhan permainan. 

Walau bagaimanapun, jentera serangan Jerman dilihat lebih mantap dan lebih banyak membuat serangan dengan 7 cubaan tepat ke pintu gol berbanding Argentina yang hanya membuat 1 serangan tepat. 

Perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan apabila kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol. Mungkin kerana kedua-kedua pasukan juga dalam keadaan berhati-hati dan cuba bermain secara selamat, namun tuah lebih memihak pasukan Jerman. 

 Percaturan Joachim Low memasukkan Mario Götze pada minit ke-89 bagi menggantikan Miroslav Klose ternyata suatu tindakan yang bijak apabila pemain tersebut berjaya memecah kebuntuan gol dengan jaringan pada minit ke-113 masa tambahan. 

Jaringan Mario Götze itu menjadi jaringan kemenangan Piala Dunia buat pasukan Jerman apabila Argentina tidak mampu berbuat apa-apa bagi menyekat Jerman.

Stadium Maracana akhirnya menjadi tempat bersejarah buat pasukan Jerman yang meraikan kemenangan menjulang piala terunggul bola sepak dunia itu. 

Diukur daripada prestasi mereka sepanjang perlawanan piala dunia musim ini, mereka sememangnya layak bergelar juara kerana berjaya menunjukkan aksi cemerlang dan semangat juang yang tinggi.
Tahniah Jerman!

PEMAIN ARGENTINA BERSAMA JURULATIH MEREKA KELIHATAN KECEWA SELEPAS PERLAWANAN
PEMAIN JERMAN MERAIKAN GOL YANG MELETAKKAN MEREKA SEBAGAI JUARA PIALA DUNIA 2014
Ulasan
Farahhasina

No comments:

Post a Comment