expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

06 February, 2015

TAK PERNAH SENYUM SELAMA 40 TAHUN UNTUK ELAKKAN MUKA BERKEDUT


Pembedahan plastik berkos tinggi merupakan kaedah popular yang dilakukan oleh kebanyakan wanita untuk mengatasi masalah penuaan terutamanya bagi mengelakkan kedutan. Namun, bagi seorang wanita dia percaya pada kaedah semula jadi paling asas bagi mengatasi masalah ini.

Percaya atau tidak, wanita berusia 50 tahun, Tess Kristian mendakwa dia tidak pernah lagi senyum atau ketawa sejak 40 tahun yang lalu hanya untuk memastikan mukanya tidak berkedut.

Tess menegaskan bahawa walaupun mempunyai karakter yang suka berjenaka, dia telah membuat keputusan dalam keadaan sedar untuk tidak ketawa atau senyum termasuklah ketika melahirkan anak perempuannya hanya untuk mengekalkan keremajaan wajah.

Memang harus diakui, teknik yang digunakannya itu nampaknya agak berkesan terhadap dirinya yang kini berada dalam usia 50-an.

"Saya tidak mempunyai kedutan kerana saya telah melatih diri untuk mengawal otot muka saya. Semua orang bertanya sama ada saya telah melakukan Botox, tetapi hakikatnya saya tidak pernah melakukannya," kata Tess. 

"Terima kasih pada teknik saya ini untuk tidak ketawa atau tersenyum sejak remaja dan nampaknya segala kesungguhan saya melakukannya telah terbalas. Saya tidak mempunyai satu garis kedutan pun pada wajah," katanya lagi.

Teknik kecantikan luar biasa Tess  ini telah memdapat pelbagai kritikan kerana ramai yang mendakwanya sebagai amat sia-sia.

Namun ia tidak langsung menggugatnya kerana Tess menganggap bahawa strateginya itu adalah lebih semulajadi daripada Botox dan lebih berkesan daripada mana-mana krim kecantikan atau rawatan muka yang mahal.

Menariknya, Tess bukanlah satu-satunya wanita yang tidak senyum untuk mengelak kedutan di wajah kerana teknik itu kini dikatakan semakin popular.

Selebriti seperti Kim Kardashian juga dilaporkan telah cuba untuk tidak tersenyum atau ketawa kerana ia akan menyebabkan kedutan kerana pakar-pakar kulit berpendapat bahawa teknik ini mungkin agak efektif.

Menurut seorang pakar dermatologi, Dr. Nick Lowe, ia boleh menjadi teknik anti-penuaan yang berkesan kerana kedutan berlaku akibat kekerapan senyuman yang mewujudkan garisan oleh otot-otot di wajah dengan tisu penghubung di bawah kulit.

Jadi, jika seseorang itu boleh melatih diri untuk mengurangkan ekspresi wajah, ia akan mengurangkan kedutan.Walaupun kaedah ini agak berkesan, ia mungkin sukar untuk tidak ketawa dalam keadaan yang lucu atau apabila mendengar jenaka.

Namun bagi Tess, ia tidak terlalu sukar baginya kerana dia bersekolah di sebuah sekolah Katolik yang ortodoks di mana para biarawati tidak suka kanak-kanak tersenyum.

Jadi Tess mula mengawal ketawanya dengan belajar untuk mengawal otot mukanya. Dia juga turut merasakan yang ekspresi wajah yang serius adalah lebih sesuai dengan dirinya.

Tess tidak merasakan perkara itu menjadi suatu masalah baginya kerana rakan-rakan dan anaknya sendiri telah memahami perkara itu. Mereka sedar, walaupun tidak tersenyum atau ketawa, ia bukan bererti dia tidak gembira ketika mendampingi mereka.

Tess tetap gembira dengan keadaannya itu terutamanya apabila dia menyedari rakan-rakan seusianya telah mula menunjukkan garis kedutan di sekitar mulut sedangkan wajahnya masih bebas kedut.

TESS KRISTIAN, WANITA YANG TIDAK PERNAH SENYUM SELAMA 40 TAHUN
TESS TELAH MELATIH DIRINYA UNTUK TIDAK TERSENYUM SEJAK REMAJA
LATAR BELAKANG PERSEKOLAHANNYA TURUT MEMBANTU MENGEKALKAN TEKNIK INI
TESS TETAP MAMPU BERSOSIAL SECARA NORMAL WALAUPUN TANPA SENYUMAN DAN KETAWA
DIA TIDAK PERNAH MENGHALANG ANAKNYA STEVIE YANG MEMPUNYAI KARAKTER BERTENTANGAN
PADA USIA 50 TAHUN, WAJAH TESS MASIH BEBAS KEDUTAN


No comments:

Post a Comment